Lelaki Dipatuk Ular Dapat Perhatian
Oleh: Mohd Ikhwan
DUNGUN, 26 Julai- Kesakitan ditanggung seorang lelaki yang dipatuk ular minggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa, Tengku Alif Najmi ketika menziarahi pemuda itu dirumahnya, baru-baru ini.
“Saya berharap dia cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian dengan segera.
“Sempena kunjungan ini, kita serahkan sedikit sumbangan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tembesu Akar dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sura untuk meringankan beban Alif dan keluarga,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ziarah mahabbah ke rumah mangsa.
Wan Hapandi juga menasihati orang ramai agar sentiasa berhati hati supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
"Saya ingin nasihati kepada semua orang, perlu berhati-hati supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.
Sementara itu, Tengku Alif Najmi berkata, dia terpaksa menahan kesakitan beberapa ketika selepas dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dibawa ke hospital.
“Semasa saya berjalan, tiba-tiba rasa ada sesuatu mematuk, lepas tu rasa pedih dan sakit yang amat sangat pada kaki saya.
"Tak lama lepas tu kaki saya terasa kebas, keras dan membengkak," katanya.