lightning-solid
Berita :
LKAN 2026: Ahli Parlimen Besut Bangkit Empat Isu Tadbir Urus Entiti Awam
LKAN 2026: Ahli Parlimen Besut Bangkit Empat Isu Tadbir Urus Entiti Awam
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
4 jam yang lepas
42

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh membangkitkan empat isu kritikal melibatkan kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan entiti berkepentingan awam ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 di Dewan Rakyat semalam.

Perbahasan tersebut menyentuh pelaksanaan due diligence oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), kedudukan kewangan Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pengurusan perbelanjaan MARDI serta persoalan akauntabiliti melibatkan MIMOS dan My Digital ID.

Berhubung PHB, beliau menegaskan bahawa walaupun prosedur operasi standard telah diwujudkan sejak 2016, pelaksanaan due diligence tidak dibuat secara menyeluruh merangkumi kesemua aspek yang ditetapkan.

“Daripada jadual yang disediakan dalam laporan audit, hanya satu bangunan sahaja yang dilaksanakan due diligence untuk lebih daripada satu aspek. Bangunan-bangunan lain kebanyakannya hanya dinilai dari sudut struktur fizikal sahaja,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tiada satu pun bangunan dinilai melibatkan aspek hasil bangunan, kewangan dan penilaian risiko, sedangkan ia merupakan komponen penting dalam pelaburan hartanah.

“Adakah kegagalan melaksanakan due diligence secara menyeluruh ini menjadi faktor bangunan tersebut diperoleh walaupun berdepan masalah seperti kebocoran, keluasan tidak sesuai permintaan serta ketiadaan sistem pendingin hawa dan ventilasi?” soal beliau.

Dalam isu berasingan, beliau turut membangkitkan kedudukan kewangan Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menghentikan operasi pada Mei tahun lalu selepas liabiliti melebihi aset.

Keadaan itu menyebabkan 23 kakitangan ditamatkan perkhidmatan dan menimbulkan kebimbangan terhadap pulangan dividen serta keterjaminan dana persaraan anggota tentera sebagai pemegang taruh utama.

“PPHM ini berada di bawah LTAT dan mempunyai peranan besar dalam pelindungan persaraan anggota tentera. Maka kepentingan anggota tentera sebagai pemegang taruh mestilah diberikan perhatian,” tegasnya.

Beliau juga mempersoalkan pengurusan perbelanjaan MARDI yang didapati menggunakan peruntukan pembangunan bagi membiayai perbelanjaan mengurus berulang dan pentadbiran, bertentangan garis panduan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sejauh manakah pengalihan ini menjejaskan kemajuan projek serta keupayaan menghasilkan inovasi baharu.

“Belanja banyak tetapi pencapaian kita tidak pasti. Adakah inovasi pertanian MARDI ini sudah lebih maju ke hadapan atau masih di takuk lama?” katanya lagi sambil mengimbau kejayaan terdahulu MARDI menghasilkan varieti seperti betik Azotika dan mangga Harum Manis.

Turut disentuh ialah isu penggunaan peruntukan pembangunan bagi pembayaran emolumen melibatkan MIMOS dan My Digital ID.

Laporan audit meletakkan akauntabiliti kepada MIMOS sebagai pemegang tanggungjawab fiduseri, namun agensi itu dalam maklum balas November 2025 menyatakan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan pengurusan My Digital ID dan hanya bertindak sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran gaji.

“Seakan-akan wujud penyanggahan berkenaan struktur tadbir urus oleh entiti terlibat. Jadi siapakah sebenarnya yang memegang kewajipan fiduseri dan sepatutnya diaudit berdasarkan struktur tadbir urus yang sewajarnya?” soalnya lagi.

Perbahasan itu menzahirkan penegasan Ahli Parlimen tersebut terhadap kepentingan ketelusan, akauntabiliti serta perlindungan kepentingan pemegang taruh dalam pengurusan dana dan aset awam.



Tag :

Artikel Berkaitan