KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Terengganu akan memohon kebenaran dengan pihak berkuasa supaya penanam padi di negeri ini diberi kelonggaran turun ke sawah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan itu akan diserah kepada Jawatankuasa Khas Negeri dalam masa terdekat untuk dinilai Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, kelonggaran itu penting supaya padi dapat ditanam seperti biasa mengikut jadual ditetapkan dan pengeluaran beras tidak terjejas.
“Jadual tanaman padi sepatutnya bermula 5 Jun tapi kerajaan umumkan PKP penuh pada 1 Jun. Jika betul-betul ikut jadual mula 5 Jun, kita jangka masa tuai padi adalah hujung bulan Oktober dan ia sudah hampir tibanya musim banjir.
“Jadi kita akan mohon kepada Jawatankuasa Khas Negeri untuk diaju kepada MKN supaya petani dibenar turun ke sawah dalam PKP penuh agar padi dapat dituai sebelum banjir,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada hari ini.
Menurut Dr Azman, terdapat kira-kira 6,000 penanam padi di seluruh Terengganu dengan sebahagian besar kawasan jelapang padi bertumpu di daerah Besut dan Setiu melibatkan keluasan tanaman 4,876 hektar.
Beliau berkata, selain penanam padi pihaknya juga akan memohon kelonggaran sama kepada sektor pertanian lain seperti nelayan dan petani bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan.
“Dari segi pemasaran hasil pertanian seperti buah tembikai pula, kita jamin tiada lambakan HB besar-besaran sebagaimana PKP pertama tahun lepas. Kebanyakan tembikai sudah dituai dan dianggarkan tinggal kira-kira 10,000 hektar lagi.
“Jika ada berlaku lambakan pun, ia tidak banyak dan kita akan tempatkan di pasaran sedia ada seperti pasar tani kekal dan sebagainya,” katanya.