Luluh Hati Lihat Harta Benda Musnah Sekelip Mata

TEMERLOH, 29 Disember - Luluh hati seorang sukarelawan apabila melihat banjir besar yang berlaku minggu lalu memusnahkan harta benda penduduk di sini dalam sekelip mata.

Sukarelawan Terengganu (T-Volt), Aina Nasuha Mohd Fauzi berkata, misi bersama 650 sukarelawan lain itu memberikannya satu pengalaman berharga selain dapat membantu mangsa.

Katanya, kesemua mangsa bah di daerah itu sedang menghadapi kesukaran dan kesulitan akibat bencana alam terbabit 

"Misi kebajikan ini dapat membantu anggota masyarakat yang sedang mengalami kesulitan dengan kerosakan harta benda.

"Apa yang sedang mereka alami ini merupakan ujian besar dan sangat berat untuk dihadapi mereka, kita pun tidak mampu untuk menanggung bebanan sebagaimana yang mereka alami," ujarnya.

 

Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa kerja pembersihan di sebuah rumah penduduk di Taman Mentakab Indah, di sini, semalam.

Sementara itu mangsa banjir, Maiyuni Zakaria, 42, berkata bantuan sukarelawan daripada kerajaan Terengganu memberi kelegaan kepada mereka.

"Kami sekeluarga masih dalam keadaan penat setelah dua kali pada tahun ini menghadapi keadaan sebegini, cuma yang berlaku baru-baru ini lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan yang terjadi pada awal tahun.

"Kali ini, air naik sangat laju dan tinggi sehingga mencecah bumbung rumah.

"Boleh dikatakan kesemua harta benda, termasuk kenderaan motor dan kereta mengalami kerosakan. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menghantar sukarelawan bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh 400 keluarga di sini," ujarnya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata bantuan berterusan melalui misi kemanusiaan berkenaan akan dilakukan bagi menzahirkan kecaknaan Terengganu  terhadap negeri yang terbabit bencana.

"Ini menjadi sebagai bukti keprihatinan pihak kerajaan negeri, nilai sebeginilah perlu diterapkan dimana ia perlu disemarakkan dalam kalangan rakyat di negeri Terengganu dan Malaysia amnnya.

"Saya mendoakan agar urusan kebajikan yang akan dijalankan selama tiga hari ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT dalam membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan di Temerloh ini dengan seramai mungkin sukarelawan yang kita hantar serta hadir dalam menjayakan misi pengoperasian pasca banjir ini," katanya.

 


Tag: