Lumba Perahu Terengganu, Tradisi ‘Hanyut’ Yang ‘Mudik’ Kembali

Lumba perahu bina semangat kerjasama dalam sesuatu komuniti.


Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS, 23 September - Sukan lumba perahu yang dipertandingkan di Kampung Tanjung Sabtu sempena Karnival Sukaneka Air Dan Darat 2019, menggamit kembali budaya masyarakat Terengganu yang ‘hilang’ lebih 30 tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berharap, penganjuran semula sukan lumba perahu itu bakal menghidupkan kembali nostalgia temasya berkenaan yang telah dipertandingkan sejak dahulu.

“Saya difahamkan lumba perahu menggunakan perahu kayu telah terhenti sejak tahun 1986, iaitu kira-kira 33 tahun yang lepas dan digantikan dengan perahu gentian kaca.

“Bagaimanapun, lali terakhir sukan ini dianjurkan adalah pada tahun 2012, dan insyaAllah kita akan hidupkan kembali kerana sambutannya begitu meriah dan sangat diminati ramai,” katanya ketika berucap merasmikan penutup karnival berkenaan di persisir sungai Kuala Nerus, Sabtu lalu.
 
Peserta Karnival Sukaneka Air dan Darat bergambar bersama.
Dalam program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu selaku penganjur utama itu, pasukan ‘Dol Said’ muncul juara pertandingan dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM600 berserta pingat.

Manakala, pasukan ‘Tok Janggut’ yang meraih tempat kedua, ‘Tok Ku Paloh’ di tempat ketiga dan ‘Abdul Rahman Limbong’ di tempat keempat, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM480, RM360, RM240 berserta pingat.

Ridzuan turut melahirkan perancangan supaya sukan lumba perahu dipertandingka ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.

”Sukan lumba perahu ini akan diadakan secara tahunan serta mutu dan aspek perlawanannya akan dipertingkatkan.

“Kita mungkin akan melibatkan empat atau lima buah kampung lagi di pesisir Sungai Nerus ini agar acara berkenaan lebih meriah,” katanya sambil mengungkapkan rasa terima kasih atas kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan para penduduk kampung untuk terlibat dalam temasya berkenaan walaupun ia agak mencabar.

Sukan air jadi tarikan pengunjung.








Tag: