Mahasiswa Dilibat Secara Terus Dalam Penyediaan Bajet 2023 Terengganu

Oleh : Siti Norbaity Abd Latif

KUALA LUMPUR, 26 April - Menteri Besar Terengganu berikrar untuk lebih responsif terhadap keperluan libat urus dan suara generasi muda dalam pelaksanaan dasar di Negeri Terengganu termasuk akan melibatkan secara terus para mahasiswa dalam penyediaan Bajet 2023.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika program Iftar PERMATA Peringkat Zon Tengah 2022 baru-baru ini berkata, golongan muda mempunyai cadangan serta pandangan yang lebih segar dalam mencorak pentadbiran.

“Insya-Allah dalam penyediaan bajet Kerajaan Negeri 2023 nanti, kita akan adakan sesi libat urus secara terus dengan para mahasiswa-mahasiswi untuk mendapatkan maklumblas, pandangan, cadangan serta idea baru yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita sedar kelompok golongan muda dalam masyarakat kita adalah begitu ramai,” jelas Naib Presiden PAS itu kepada lebih 350 mahasiswa-mahasiswi yang hadir di Bangi Convention Center di sini.

Menurut beliau juga, kelompok mahasiswa tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri semata-mata terutamanya selepas pelaksanaan undi 18 tahun.

“Kelompok mahasiswa tidak boleh hidup dengan memikirkan soal diri sendiri semata-mata terutamanya dalam keadaan sekarang ini di mana apabila pelaksanaan undi 18 umpamanya, secara langsung telah meletakkan satu amanah yang besar kepada mahasiswa-mahasiswi untuk terlibat dalam sistem demokrasi negara dan untuk membuat keputusan demi masa depan negara.

“Oleh itu Kerajaan Negeri berharap PERMATA dan persatuan mahasiswa lainnya dapat memainkan peranan dalam meningkatkn literasi politik dan demokrasi dalam kalangan mahasiswa. Khususnya mahasiswa dari negeri Terengganu dan Malaysia secara umumnya.

“Kerajaan Negeri mewujudkan ruang dan peluang ini supaya penglibatan golongan muda dan tidak berparti ini lebih memahami dan memberikan idea untuk kepentingan negeri dan negara,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Samsuri menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM10,000 kepada semua enam universiti di peringkat Zon Tengah.


Tag: