• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Mahasiswa Terengganu Lapor Polis Terhadap Aktivis Politik

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Video kontroversi yang melibatkan aktivis politik, Wan Hadi telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan mahasiswa di Terengganu, khususnya mereka dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) Terengganu, Ahmad Baihaqi Mohd Fadzil berkata GAMIS bersama-sama dengan Siswa PAS Terengganu dan wakil persatuan mahasiswa UniSZA, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Hadi.

Kenyataan tersebut, yang tersebar luas melalui media sosial, didakwa sebagai tohmahan yang merosakkan nama baik golongan ulama serta menggunakan platform tersebut secara tidak wajar.

“Kenyataan ini bukan sahaja mengapi-apikan masyarakat tetapi juga menimbulkan ketidakselesaan yang besar di kalangan mahasiswa, terutamanya ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir semester sekarang.

“Laporan polis tersebut dibuat bagi memohon pihak berkuasa untuk menyiasat Wan Hadi di bawah Seksyen 499, 504, dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Baihaqi berkata pihaknya berharap agar tindakan segera diambil untuk memastikan isu tersebut diselesaikan dengan adil dan tidak menjejaskan keharmonian serta imej institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Pihaknya turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap impak kenyataan tersebut.

“Video ini telah mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan mahasiswa dan orang awam. Kami mendesak pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap Wan Hadi.

“Dengan laporan polis yang telah dibuat, GAMIS Terengganu dan Siswa Pas Terengganu berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.

Baihaqi turut menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini dengan baik.

“Kes ini kini dalam siasatan pihak polis dan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Mahasiswa UniSZA serta masyarakat umum diingatkan agar tidak menyebarkan spekulasi dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” jelasnya.


Tag: