• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Maidam Peruntuk RM200,000 Untuk Bantuan Pendahuluan Nafkah


Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 tahun ini bagi membiayai bantuan pendahuluan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud berkata, peruntukan itu disalurkan Maidam kepada Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada Maidam atas komitmen dan kerjasama selama empat tahun berturut-turut iaitu sejak 2014 lagi terus menyediakan dan menyalurkan peruntukan wang zakat untuk tujuan ini.

“Diharapkan agar kerjasama di antara Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan Maidam ini akan terus terjalin dan peruntukan wang zakat ini akan terus disalurkan setiap tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2017 Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Hotel Grand Puteri, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.


Pada majlis itu, seramai 79 orang menerima bantuan pendahuluan nafkah anak yang melibatkan jumlah sebanyak RM139,850.00

Katanya, isu pengabaian nafkah walaupun nyata adalah tanggungjawab para bapa atau suami hakikatnya ia turut melibatkan aspek kewangan golongan ini.

“Jadi disinilah wujudnya peranan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan Maidam untuk membantu dari segi kewangan, dan menyalurkan bantuan kepada pemohon yang benar-benar layak,” ujarnya.

Tag: