KUALA TERENGGANU, 23 Disember- Kerajaan negeri menyeru pemilik dan pengusaha vessel laut dalam C Dan C2 agar memastikan pekerja-pekerja asing di bawah seliaan mereka mematuhi peraturan dan tidak menimbulkan masalah ketika berada di daratan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri bertindak sebagai perantara untuk menangani aduan daripada masyarakat sekitar berkaitan rasa tidak selesa yang dicetuskan nelayan asing ketika mereka mendarat dan berharap para majikan turut memberikan kerjasama.
"Dalam tempoh kita menangani isu pas lawatan kerja sementara (PLKS) ini, kita perlu juga tegas menangani isu-isu berkaitan masalah sosial ini dengan semua jabatan terlibat. Bukan esok atau lusa, tetapi bermula hari ini para pengusaha perlu bertindak menjaga perlakuan para pekerja mereka.
"Masalah sosial antaranya mabuk, kecurian, mengganggu orang lain yang berlaku tidak bersabit dengan bayaran yang perlu dikeluarkan. Mereka memang sudah melanggar undang-undang kerana tiada dokumen pengenalan yang sah, tetapi apabila naik ke darat mereka mencetuskan pula masalah-masalah yang menyebabkan aduan dan ketidakselesaan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Dialog Agensi Penguatkuasaan Bersama Pengusaha Vessel Laut Dalam C Dan C2 di Dewan Akademi Perikanan Malaysia Chendering, semalam.
Jelasnya, kerajaan negeri bersedia mengambil komitmen untuk menangani isu PLKS yang membebani para pengusaha secara harmoni.
"Ini kerana, ia bersabit dengan banyak kementerian yang perlu diperincikan supaya boleh diambil tindakan terbaik.
"Kita juga akan teruskan sesi-sesi dialog pada masa akan datang untuk mendapatkan info-info terbaru yang berkaitan kerana kita hendak jaga semua pihak, pihak jabatan dan pengusaha serta rakyat," katanya.