lightning-solid
Berita :
Masalah Jalan Kampung ‘Lecoh’ Temui Penyelesaian
Masalah Jalan Kampung ‘Lecoh’ Temui Penyelesaian
Hidayah Azlin
21 Dec 25
2907

SETIU, 21 Disember – Penderitaan penduduk yang terpaksa menggunakan laluan harian yang sempit dan berselut di sebuah perkampungan di sini dijangka berakhir tidak lama lagi hasil rundingan bersama pemilik tanah persendirian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, tinjauan di lapangan mendapati punca utama kegagalan menaik taraf laluan tersebut adalah disebabkan ketiadaan rizab jalan yang sah.

Menurutnya, kebanyakan rumah di kawasan terbabit dibina di atas tanah yang masih berstatus tanah pertanian, menyebabkan tiada peruntukan khas bagi rizab jalan raya disediakan.

"Masalah utama ialah ketiadaan rizab jalan. Dalam kes seperti ini, kebenaran bertulis daripada tuan tanah bersebelahan amat diperlukan untuk membolehkan jalan kampung atau Jalan Perhubungan Desa (JPD) dibina.

"Perlu difahami bahawa peruntukan pembinaan jalan kampung tidak termasuk kos pengambilan tanah. Apabila tiada kebenaran daripada pemilik tanah, maka masalah jalan rosak dan becak ini akan berpanjangan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyantuni masyarakat kampung sekitar Dun Jabi, semalam. 

Bagaimanapun, Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menzahirkan rasa syukur apabila hasil ziarah pagi tadi memberi sinar baharu kepada penduduk setempat.

Beliau menyatakan terdapat petanda positif bahawa pemilik tanah bersebelahan sedia memberikan kerjasama dan kebenaran untuk laluan tersebut dinaik taraf.

"Alhamdulillah, dalam ziarah pagi ini nampak ada ruang untuk kebenaran tuan tanah bersebelahan diperolehi.

"Kita berharap dengan kerjasama ini, situasi jalan lecoh serta berselut yang membebankan rakyat selama ini dapat diakhiri dengan segera," tambahnya lagi.

Isu jalan kampung di atas tanah status pertanian sering menjadi cabaran buat pihak kerajaan negeri memandangkan ia melibatkan hak milik peribadi dan prosedur perundangan tanah yang kompleks sebelum sebarang kerja pembinaan infrastruktur dapat dijalankan.

Dalam pada itu, Program Hari Bersama Masyarakat ini membuktikan bahawa sentuhan fizikal dan kehadiran pemimpin di lapangan tetap menjadi nadi utama dalam menyelesaikan kemelut rakyat.

Meskipun dunia kini dihujani dengan pelbagai platform aduan teknologi maklumat (IT) yang serba canggih, nilai kemesraan dan kepercayaan hanya dapat dirasai apabila pemimpin turun sendiri ke medan untuk mendengar suara hati masyarakat. 

image.jpeg 214.77 KB

“Pemimpin berpeluang mendengar isu dan permasalahan setempat secara terus tanpa protokol yang merumitkan. Dalam pada itu, Pengerusi JPKK juga turut serta dalam setiap siri ziarah, membolehkan aduan disalurkan secara terus untuk tindakan segera.

“ Ia bukan sekadar sapaan dan senyuman, tetapi satu usaha jujur untuk menyantuni dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap aduan yang diterima.

"Teknologi itu memudahkan, tetapi rasa kebersamaan itu hanya muncul melalui kehadiran. Kita mahu rakyat rasa mereka didengari dan disantuni dengan sebaiknya," ujarnya.

Melalui inisiatif ini, jurang antara pemimpin dan masyarakat dapat dirapatkan, sekali gus memastikan setiap kebajikan rakyat terbela dengan tindakan yang lebih efisien dan berperikemanusiaan.



Artikel Berkaitan