MARAN, 30 Disember - Masjid di Kampung Sekara, Chenor yang ditenggelami banjir lumpur baru-baru ini kembali pulih selepas dibersihkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dalam Operasi Bantuan Banjir.
Imam masjid, Mat Yunus Abu Bakar berkata, khidmat yang diberikan agensi terbabit memberikan kegembiraan kepada jemaah masjid.
Katanya, sepanjang berlaku bencana berkenaan segala aktiviti termasuk Solat Jumaat terpaksa dihentikan.
"Insya-Allah selepas ini ia akan kembali dihidupkan, terima kasih kepada sukarelawan yang hadir pada hari ini bagi melakukan kerja-kerja pembersihan masjid ini.
"Mudah-mudahan Allah kurniakan fadilat kepada tenaga bantu yang bertungkus lumus bagi membersihkan rumah-rumah penduduk serta masjid ini," ujarnya ketika ditemui di masjid berkenaan semasa operasi pembersihan semalam.
Dalam pada itu Ketua operasi pasca banjir APM Terengganu, LT. (PA) Mohd Jeffri Johari berkata 15 anggota dan sukarelawan dari Terengganu beserta telah ditugaskan khas untuk membersihkan masjid berkenaan.
"Hari ini merupakan hari kedua APM terlibat dalam operasi membersihkan institusi ini dimana kawasan tumpuan kita adalah Temerloh dan juga Maran.
"Jika sebelum ini agensi kami hanya terlibat dalam pengoperasian memindahkan mangsa banjir, namun pada kali ini kami turut berperanan membantu masyarakat di Pahang dalam melakukan kerja-kerja pasca banjir dengan tempoh yang diberikan selama tiga hari," katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut, Muzafar Harun mewakili penduduk setempat menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Terengganu kerana telah membantu penduduk di daerah terbabit.
"Terutamanya kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seluruh agensi dan para sukarelawan yang terlibat dalam misi ini.
"Alhamdulillah, bantuan telah sampai kepada kami walaupun kampung ini berada agak jauh di pedalaman serta jauh dari pusat bandar," ujar beliau.