MBDHT, Xiri Kuala Berang Rai Anak Yatim



Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu (MBDHT) dengan kerjasama Pasaraya Xiri, Kuala Berang  meraikan 50 anak yatim dari sekitar daerah  sebagai persiapan menyambut Aidilfitri  tidak lama lagi.

Pengerusinya,Md Nasir Mat Ali berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban  mereka bagi persiapan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Jelasnya lagi,program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka membantu golongan kurang bernasib baik dengan dibantu  Pasaraya Xiri di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR)syarikat itu.



“Dalam program ini, setiap anak yatim menerima sumbangan bernilai RM100 seorang untuk membeli kelengkapan pakaian raya dan pelbagai aksesori lain bagi menyambut Aidilfitri.

"Sumbangan ini adalah untuk memberikan sinar kegembiraan kepada anak-anak yatim ini untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sekurang-kurangnya mereka ini mempunyai sepasang baju Melayu dan baju kurung baharu pada raya nanti,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas Program Raikan Syawal MBDHT Bersama Golongan Kurang Berkemampuan 2017 ,hari ini.

Turut hadir, Pengurus Xiri Kuala Berang, Christian Low.

Penerima sumbangan, Mohamad Aqif Zafran Ali,8, dari Kampung  Payang Kayu berkata, dia yang kini tinggal bersama neneknya kali kedua menerima bantuan baju raya berasa gembira kerana mendapat baju baru untuk Aidilfitri kali ini.

"Sejak kehilangan ayah akibat kemalangan pada tahun 2015, ibulah  yang bekerja keras malah terpaksa bekerja di Kuala Lumpur untuk membesarkan kami dan saya berharap pada tahun ini beban ibu berkurangan kerana tidak perlu membuat persiapan raya untuk kami adik beradik," katanya.

Tag: