MBKT Bakal Sedia Laluan Khas Beca

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bercadang untuk menyediakan laluan khas pengayuh beca di bandaraya tersebut. 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Abdul Latif berkata penyediaan laluan tersebut adalah strategi meningkatkan pendapatan golongan itu. 

"Ini amat sesuai dengan tema Bandaraya Kuala Terengganu sebagai 'Bandaraya Pesisir Air', jadi hari ini kita hendak mendengar 'feedback' daripada mereka, apa kehendak dan keperluan mereka, apa yang patut kita buat," jelasnya.Beliau berkata demikian selepas bertemu pengayuh beca di Pasar Kedai Payang di sini. 

Menurut Rosli, pihaknya akan cuba menjadikan cadangan sebagai realiti selepas pengayuh-pengayuh beca memberi reaksi positif.

"Kami sedar untuk menjadikannya sebagai realiti, kami terpaksa tempuhi halangan yang bukannya mudah termasuklah dalam konteks perundangan, tetapi kami akan cuba menjadikan cadangan ini sebagai realiti," ujarnya. 

Seorang pengayuh beca yang ditemui, Mohd Salleh, 45, berkata dia mencari nafkah dengan mengayuh beca. 

"Saya mula mengayuh beca masa umur 25 tahun, masa tu bandar ni macam kampung sekarang ini, saya bersetujulah dengan apa yang hendak dibuat laluan untuk pengayuh beca," katanya. 

Manakala rakannya, Abdul Wahab Abdul Rahman, 50, berharap dengan adanya laluan tersebut akan membantunya meningkatkan pendapatan.

"Sekarang hendak kata dalam seminggu ini, saya tidak ada penumpang yang nak naik beca saya, jadi dengan adanya laluan itu akan dapat menambah pendapatan saya," katanya.


Tag: