Jalur Gemilang
Berita :
MBKT Raih Dua Anugerah Emas Persidangan Nasional RKB 2026
MBKT Raih Dua Anugerah Emas Persidangan Nasional RKB 2026
Ahmad Zaeem Zainudin
10 jam yang lepas
157

KUALA TERENGGANU, 4 November - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meraih dua Anugerah Emas pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 menerusi kejayaan mengetengahkan dua projek inovasi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengiktirafan itu diraih menerusi projek Meningkatkan Keberkesanan Pengawalseliaan Kelayakan Menduduki Bangunan dan Mempercepat Proses Kelulusan Pelan Bangunan Kediaman Berskala Kecil dari Lima Hari kepada Satu Jam.

Menurut MBKT, inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan pihaknya dalam memperkemas proses kerja, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan urusan perkhidmatan kepada rakyat.

"Kejayaan meraih dua Anugerah Emas ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat MBKT, sekali gus membuktikan bahawa usaha reformasi birokrasi dan inovasi perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan mampu menghasilkan impak yang signifikan.

"Pengiktirafan ini turut menjadi pemangkin kepada MBKT untuk terus memperkukuh budaya inovasi, mempercepat proses kerja dan meningkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan warga bandar raya Kuala Terengganu," kata MBKT dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Persidangan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober lalu di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam itu menjadi platform perkongsian amalan terbaik dan projek berimpak tinggi dalam kalangan kementerian, agensi kerajaan negeri serta PBT.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah turut mengucapkan tahniah kepada MBKT atas pencapaian berkenaan.

"Kejayaan ini membuktikan komitmen MBKT dalam melaksanakan reformasi birokrasi, mempercepat proses kerja serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Tahniah kepada seluruh warga kerja MBKT yang terlibat," ucap beliau menerusi sebuah hantaran Facebook, semalam.

Dato' Wan Sukairi turut berharap pengiktirafan tersebut menjadi pembakar semangat kepada MBKT untuk terus berinovasi dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan bandar raya Kuala Terengganu.

Inisiatif RKB 2026 di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti dan menangani isu birokrasi yang membebankan rakyat serta peniaga, selain memperkukuh kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan