Jalur Gemilang
Berita :
UMT Raih Kedudukan Ke-139 Asia
UMT Raih Kedudukan Ke-139 Asia
Noraini Jusoh
13 jam yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 4 November – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengungguli kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila mencatat pencapaian membanggakan dalam QS Asia University Rankings (QS AUR) 2027 dengan menduduki tangga ke-139 Asia.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, pencapaian itu meletakkan UMT dalam kelompok lapan peratus terbaik institusi yang dinilai, sekali gus mengatasi 92 peratus universiti lain dalam penarafan berkenaan dengan skor keseluruhan 64.0.

Katanya, kekuatan pengantarabangsaan universiti itu turut terserlah apabila lebih 10 peratus pelajarnya menyertai program pertukaran di luar negara, manakala lebih 1,000 pelajar antarabangsa memilih UMT sebagai destinasi pengajian.

“UMT memperoleh skor penuh 100 bagi indikator Outbound Exchange Students dan Inbound Exchange Students, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 50 terbaik Asia bagi kedua-dua indikator berkenaan.

“Selain itu, UMT mencatat skor 96.6 bagi indikator International Research Network (IRN) dan berada dalam kelompok 100 terbaik Asia, manakala indikator Staff with PhD merekodkan skor 98.2,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pengantarabangsaan perlu berkembang seiring dengan pengukuhan bidang teras universiti serta pembangunan subbidang dan bidang strategik yang berpotensi, relevan dengan keperluan negara dan menjadi pilihan pelajar.

"UMT mempunyai kekuatan dan identiti yang jelas dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik," katanya.

Beliau berkata, UMT akan terus memperluas program mobiliti pelajar serta kolaborasi strategik bersama rakan antarabangsa bagi memberikan pendedahan akademik global kepada mahasiswa.

Katanya, usaha itu juga penting bagi memastikan kepakaran, penyelidikan dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan oleh industri, masyarakat serta negara.

"Keutamaan kita adalah memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara dinamik," ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan