Media Rakan Kongsi Kerajaan


KUALA TERENGGANU, 21 November - Media adalah rakan kongsi kepada Kerajaan Terengganu dalam membangunkan negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, kerajaan yang ada sekarang ini menyedari peranan media yang sangat penting.

“Apa yang kita nak sebenarnya adalah apa yang berlaku dalam perkembangan kerajaan hari ini dilaporkan dengan betul dan tepat. Itu hasrat kita.

“Bukan bermakna apa yang dilaporkan sebelum ini tidak tepat dan betul. Saya sebut untuk mengukuhkan hasrat kerajaan melihat peranan media dapat dimainkan secara yang saya sebutkan tadi,” ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Bersama Media di Damai Lounge U2, Wisma Darul Iman, kelmarin.

Oleh itu, katanya, sekiranya fungsi media tidak seimbang, ia boleh menjejaskan prestasi kepimpinan dan kerajaaan negeri.

Haji Yahaya menganjurkan majlis tersebut bagi menghargai pengamal media atas kerjasama yang telah diberikan selama ini.

Katanya, beliau sedang membuat beberapa pembaharuan dalam perjalanan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) yang akan bermula pada 25 November ini.

Beliau mahu mendengar sendiri maklum balas daripada media agar perjalanan sidang DUN berjalan lancar.

"Memang sebenarnya menjadi hasrat saya untuk adakan pertemuan seumpama ini dan saya harap ia akan menjadi pertemuan tahunan ataupun lebih kerap (sekiranya perlu) untuk kelancaran sidang DUN.

“Saya tambah (menjadi) lima hari untuk memberikan kepuasan kepada ahli Yang Berhormat (wakil rakyat) dan supaya mereka mempunyai masa yang lebih lapang dan mencukupi untuk membawa suara rakyat.

“Dan cita-cita saya, memang saya berusaha  untuk mengangkat Dewan Undangan Negeri kita ke satu peringkat  (yang) lebih baik insya-Allah,” tegasnya.





Tag: