Menteri Terkejut, Exco Terengganu Tampil Beri Penjelasan

KUALA NERUS, 8 Februari - Exco Kerajaan Terengganu hari ini tampil memberi penjelasan berhubung laporan berita yang mengatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terkejut dengan permohonan geran naik taraf saliran dan tukar rumput stadium dari negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, beliau percaya Hannah mungkin 'terkejut’ Terengganu masih memohon penambahbaikan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dikatakan sudah berada dalam keadaan 'tip top'.

"Sebenarnya tiada apa yang perlu terkejut. Sewaktu Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 pada 9 Januari lalu, saya mengambil peluang bertanyakan soalan dalam sidang mesyuarat ini.

"Antara yang saya timbulkan adalah padang untuk SSMZA tidak perlu untuk ditukar dengan rumput Zeon Zoysia kerana rumput Princess Bermuda 77 yang ada sekarang ini sudah memadai.

"Walaupun begitu, jika geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini boleh dimanfaatkan untuk kami 'upgrade' padang ini, ia satu peluang yang cukup baik untuk objektif yang sama. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat itu untuk cuba dahulu memohon atas semangat objektif yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Hishamuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, permohonan geran itu benar dan tidak membabitkan perkara-perkara lain melainkan sistem saliran padang dan menaiktaraf rumput sedia ada. 

"Soal amaun, terpulang pada pandangan pihak kementerian. Usaha kami lakukan terlebih dahulu untuk memohon. Melihat objektif dan matlamat yang telah dinyatakan secara jelas," katanya.

Tambah beliau, permohonan itu juga dibuat kerana pihaknya mahu memastikan SSMZA berada di tahap paling berkualiti walaupun sudah ramai pemerhati bola sepak memuji keadaan semasa stadium terbabit.

"Sewaktu proses baik pulih padang stadium ini dilaksanakan pada tahun 2018-2019, ia tidak melibatkan sistem saliran secara sepenuhnya.

"Ia masih mengekalkan sistem saliran yang lama. Oleh kerana itu, walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten. 

"Tawaran geran KBS ini kami sambut kerana objektif utama adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetatif.

"Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian, satu kawasan 'nursery' dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang," ujarnya.

Jelas Hishamuddin lagi, beliau percaya pihak KBS di bawah pimpinan Hannah amat menyokong usaha-usaha bersama ini demi melihat agenda pembangunan bola sepak negara terus diperkasakan.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Hannah terkejut dengan Terengganu yang berminat dengan geran naik taraf sistem saliran dan rumput stadium.

"Keputusan skuad Sang Penyu untuk menyahut perubahan berkenaan menarik perhatian kerana rumput jenis Bermuda Princess 77 yang digunakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu merupakan antara yang terbaik.

"Saya pun terkejut kerana dalam media sosial, orang ramai mengatakan ia memiliki kualiti cukup baik. Tetapi, dalam peruntukan disediakan, kami ada dua tujuan sahaja.

"Satu, ia adalah untuk sistem saliran dan satu lagi adalah untuk penukaran rumput supaya liga boleh berjalan," katanya.


Tag: