KUALA NERUS, 1 Januari- Kerajaan Terengganu menyeru rakyat negeri itu supaya bersama-sama menyebarkan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' bagi memulakan Tahun Baharu 2024 ini sebagai satu peningkatan diri dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menjelaskan, tema tersebut diangkat bertujuan memberi kefahaman dalam menjalin tabiat beramal berlandaskan syariat Allah SWT.
"Slogan ini kita angkat supaya kita sebagai rakyat Terengganu memperbanyak rasa syukur kepada Allah SWT.
"700 tahun yang lampau, negeri Terengganu dengan penemuan batu bersurat sudah menggambarkan bagaimana Islam dipraktikkan di negeri ini. Alhamdulillah selepas 700 tahun, 96 peratus rakyat terengganu masih lagi bergelar Muslim dan insya-Allah sebagai umat yang akan terus berpegang dengan Islam.
"Sebagai iktibar dengan pengajaran buat kita, bagaimana (jangka masa) 700 tahun yang sama di Andalusia, kita melihat umat Islam di Andalusia, Portugal, Sepanyol seolah-olah terpaksa 'bangkit kembali' menjalani kehidupan sebagai Muslim.
"Kita merupakan umat yang beruntung hasil peninggalan serta kerja keras nenek moyang kita, para ulama dan sebagainya, hari ini kita mengharapkan negeri Terengganu akan terus istiqamah pada masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi merasmikan ambang Tahun Baharu 2024 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, lewat malam tadi.
Tambahnya, usaha sebegini dilaksanakan supaya rakyat Terengganu memahami bahawa kita sebagai manusia, sebenarnya yang berhajat dan memerlukan syariat Allah SWT.
"Sebagaimana Allah SWT menciptakan bumi, menurunkan hujan daripada langit, tanah yang subur, bukit-bukau, gunung-ganang untuk keperluan manfaat manusia supaya kita bersyukur kepada Allah SWT.
"Islam yang diturunkan sebagai panduan kepada kita dan jika sekiranya kita beramal dengan syariat Allah SWT, kita akan selamat di dunia mahupun di Akhirat," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berharap, hasrat kerajaan negeri disokong dalam usaha menyempurnakan pelaksanaan syariat di negeri itu.
"Aceh pernah mengadakan memorandum kepada rakyatnya dengan persoalan adakah rakyat mahu melaksanakan hukum Islam di negeri itu? 70 peratus menyokong pelaksanaannya. Inilah gambaran apabila rakyat sendiri menerima dan memahaminya.
"Kita mahu dengan tema ini, seluruh rakyat Terengganu sentiasa berada di bawah naungan syariat dan mereka gembira melaksanakan syariat serta redha dengan apa yang ditentukan kerana ini bukan penyeksaan sebaliknya, ini merupakan pendekatan taubat kepada mereka yang beriman bagi mendapat keredhaan di dunia dan Akhirat.
"Sekiranya undang-undang Islam ini terkena kepada kita tanpa ada kesedaran atau kefahaman, satu hari nanti mungkin kita akan mencela, memaki dan menolak undang-undang Islam yang dikenakan.
"Disebabkan itu, kita mahu suburkan dalam kehidupan bahawa betapa kita sebenarnya memerlukan syariat Islam," jelasnya lagi.
Beliau juga menyeru agar hasrat kerajaan negeri itu dapat diuar-uarkan dengan bahasa yang lunak dalam memberi kefahaman kepada umum.
"Kami mewakili kerajaan negeri merakamkan rasa terima kasih kerana diberi kepercayaan memerintah sepenggal lagi dan kami sentiasa terbuka menerima teguran serta kritikan membina kerana kami memikul amanah rakyat Terengganu yang telah memberi kepercayaan mereka.
"Doakanlah, supaya negeri ini menjadi negeri yang maju, berkat di dunia dan Akhirat serta sejahtera dengan semua rakyat dapat memasuki syurga Allah SWT," katanya.