Nafi Program Walimatul Urus Perdana Tiru BN - Haji Hanafiah Mat

Haji Hanafiah Mat

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri  menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa penganjuran program Walimatul Urus Perdana yang diadakan pada Jun lalu adalah program  yang ditiru daripada kerajaan terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, perkara itu tidak benar sama sekali, selain dilihat mahu memburukkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Katanya, sebaliknya langkah itu sudah lama dirancang PAS dan memuatkan Karnival Kahwin Pertama Percuma sebagai janji  dalam 20 Manisfesto PAS pada Pilihan Raya Umum  (PRU) Ke-14 lalu.

“Hakikat yang berlaku, Barisan Nasional (BN) dilihat meniru PAS kerana apa yang  dirancang dan dihebahkan perkara itu  kepada masyarakat umum melalui media sosial sekitar 2015.

Kerajaan  Barisan Nasional melaksanakan program sama buat kali pertama pada pertengahan tahun 2016 dan diteruskan pada tahun seterusnya.

“Jadi di sini, sangat tidak adil, sekiranya ada segelintir pihak menyatakan Pas meniru Barisan Nasional berkaitan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.net.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cuka turut menambah, kesinambungan Program Walimatul Urus Perdana pada November ini akan ditambah baik selain menambah had kehadiran ahli keluarga pengantin kepada 100 individu berbanding 50 orang sebelum ini.

“Syarat yang dikenakan masih sama iaitu pasangan atau seorang daripada mereka adalah rakyat negeri Terengganu dan perkahwinan itu adalah kali pertama.

“Had umur yang ditetapkan adalah 18 hingga 35 tahun, berpendapatan ibu bapa pemohon tidak melebihi RM5,000.,” katanya.

Tawaran itu masih dibuka, bagi mereka yang berminat boleh merujuk Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di kawasan masing-masing  



Tag: