• 12 Okt 2024 | 09 Rabiul Akhir 1446

Nahas Pelajar UiTM Dungun, MB Terengganu Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober -  Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terlibat dalam kemalangan ngeri semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menzahirkan rasa  dukacita buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian menyayat hati tersebut.

"Tiga daripadanya meninggal dunia manakala seorang sudah stabil dan sedang dirawat di Hospital Dungun yang difahamkan kesemua mangsa berasal dari luar Terengganu.

"Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian yang menyayat hati ini. Semoga diberi kesabaran dan kekuatan atas ujian yang menimpa.

"Semoga kesemua mangsa yang meninggal dunia juga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya dalam satu hantaran di facebook rasminya hari ini.

Semalam, tiga pelajar lelaki UiTM Kampus Dungun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Tukirin, 25.

Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung.

Nahas itu dikatakan berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka secara tiba-tiba dirempuh Honda CRV yang dipandu seorang wanita dari arah belakang. 


Tag: