KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Rakyat di negeri ini digesa memanfaatkan kuliah 'online' yang tumbuh bagaikan cendawan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, orang ramai seharusnya tidak melepaskan peluang tersebut lebih-lebih lagi selepas kerajaan melancarkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS).
“Akademi DUAT membawakan kuliah khas BPIS secara dalam talian selama 30 hari tanpa henti pada setiap jam 10.00 pagi sepanjang bulan Mac 2021 ini.
“Sama-samalah kita memanfaatkan waktu dhuha dengan melayari laman rasmi Facebook Akademi DUAT,” katanya kepada pemberita, sejurus selesai Semarak Dakwah 2.0 di perkarangan Pasar Kedai Payang, di sini baru-baru ini.
Dalam program tersebut, Ramlan bersama kakitangan DUAT yang lain turut memeriahkan program Semarak Dakwah tersebut yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Program Semarak Dakwah yang dianjurkan YADIM dengan kerjasama Akademi DUAT itu mensasarkan kira-kira 1,000 masyarakat sekitar Kuala Terengganu.