Ustaz Hishamuddin menyampaikan tazkirah kepada hadirin. Foto - Solahuddin Al-Idrus |
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, orang yang merdeka ialah mereka yang mencari jalan untuk menjadi manusia yang lebih berkualiti.
"Itulah makna merdeka untuk menghargai perjuangan mereka yang terkorban demi tanah air kita yang tercinta.
"Menekuni apa yang diperintahkan oleh Allah melalui Al-Quran, kita tidak akan merdeka jika diri dijajah dengan syaitan dan hawa nafsu.
"Al-Quran merakamkan berkenaan kisah politik dan penjajahan melalui peristiwa Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis.
"Ternyata Nabi Allah Sulaiman bukanlah penjajah, tetapi pembawa risalah yang membawa kesejahteraan kepada pemerintahan pada zaman tersebut," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan tazkirah dalam Majlis Sambutan Ambang Hari Kemerdekaan, kelmarin (29 Ogos).
Menurut Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, rakyat perlu berusaha gigih dan merasai betapa luasnya dunia, bukannya merasa sempitnya dunia.
"Ubahlah perangai dan mentaliti diri kita termasuk menjaga kebersihan tanah air.
"Negeri Terengganu di atas nama Darul Iman, 'hubbu wathan' (cintakan negara), marilah kita bersatu mempertahankan kedaulatan negara dan agama.
"Biar orang luar datang mulai saat ini merasai pakej pelancongan yang disediakan oleh rakyat negeri ini iaitu menjaga kebersihan dan bertanggungjawab.
"Baru betul kita sambut kemerdekaan," jelasnya.