PAS Mesyuarat Esok Tentukan Calon PRK Kemaman

KEMAMAN, 11 November – Parti Islam Se-malaysia (PAS) akan mengadakan mesyuarat pada Ahad, 12 November bagi menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan. 

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata mesyuarat tersebut bakal berlangsung di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur.

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan mengumumkan calon tersebut pada Khamis depan di Chukai.

“Jentera kami juga telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK ini.

“Kita juga yakin dapat menambah majoriti lebih tinggi hingga 30,000 undian berbanding yang dicapai sebanyak 27,000 undi sebelum ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P040 Kemaman bertempat di Padang Astaka, Chukai semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.

 

 


Tag: