Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Terengganu Tak Pernah Wujud
Khairiah Mokti ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman. Foto - Syaiful Mustafa |
Pegawai tersebut, Khairiah Mokti berkata, pelantikannya merupakan suatu penghormatan kepada para wanita di negeri ini.
"Saya melihat kerajaan pada hari ini serius dan cakna kepada kebajikan kami (wanita).
"Bidang tugas ini akan memfokuskan wanita dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan modal insan, sokongan moral, ekonomi dan sebagainya.
"Saya amat berterima kasih di atas kepercayaan kerajaan negeri dan Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Terengganu khususnya, kepada saya.
"Peluang dan amanah yang diberikan ini tidak akan dipersiakan dan akan digalas dengan sebaiknya insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini (3 Oktober), mengulas tentang pelantikannya baru-baru ini.
Tambahnya, posisi ini bertujuan untuk memastikan suara wanita dari pelbagai lapisan masyarakat didengari oleh kepimpinan kerajaan.
"Kerajaan akan berusaha membela hak wanita tidak kira agama mahupun bangsa dalam mencapai misi membina jati diri wanita yang dinamik.
"Alhamdulillah, kami telah mengadakan lawatan ke Kelantan baru-baru ini untuk menimba pengetahuan daripada mereka yang telah berpengalaman dalam urus tadbir hal ehwal wanita negeri.
"Justeru, segala pandangan dan permasalahan, boleh disampaikan terus kepada kami. Mudah-mudahan agenda Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera akan dapat dicapai dengan komitmen daripada semua pihak insya-Allah," tambahnya.