Pelajar IPT Wajar Dibenar Pulang


Oleh : Nooreni Abu Bakar 

KUALA TERENGGANU, 23 APRIL - Kerajaan wajar membenarkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang masih terkandas di kampus pulang susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan.

Penasihat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Abu Bakar Mamat berkata,  perkara itu perlu dibuat bagi mengelak keadaan di luar jangka termasuk meresahkan keluarga pelajar di kampung.

Bagaimanapun katanya, langkah yang efisien harus diambil bagi memastikan mereka dapat pulang dengan selamat dan tidak membawa bersama virus COVID-19.

"Memandangkan sebelum ini mereka tinggal samada di asrama ataupun rumah sewa seolah-olah telah dikuarantinkan sejak 18 Mac yang lalu dan diharapkan tiada gejala dijangkiti COVID-19.

"Justeru, pihak universiti disaran menyediakan bas untuk mereka pulang ke destinasi masing-masing tanpa perlu bersesak di perhentian bas," ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Malah katanya, penjarakkan sosial semasa menaiki dan ketika berada di dalam bas juga seharusnya dipatuhi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang telah memberi sumbangan kepada 90 pelajar Terengganu di UPSI yang tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing disebabkan PKP.


Tag: