Pelajar Patuh, Biasakan Pembelajaran Dalam SOP Baharu

Oleh : Pok Abbas

MARANG, 24 Jun - Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan mendapati sesi pertama persekolahan pasca COVID-19 hari ini berjalan lancar dengan para guru dan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Seramai 132 pelajar Tingkatan lima dibahagikan kepada sembilan kelas bagi memastikan jarak sosial sentiasa terkawal dalam kelas. Begitu juga bagi 36 pelajar Tingkatan enam di sekolah berkenaan.  

Lebih menarik, pihak sekolah sendiri telah membekalkan alat tulis dan penjagaan kendiri seperti pelitup muka kepada setiap pelajar bagi mengawal pencemaran silang di antara mereka selain menyediakan pencuci tangan di beberapa kawasan sekitar sekolah.

Para guru dilihat memulakan pembelajaran dengan taklimat berkaitan penjagaan kendiri serta penerangan berkaitan COVID-19 secara lebih terperinci.

Kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi tumpuan pelajar-pelajar berkumpul juga rata-rata dikuarantinkan sebagai langkah pencegahan.

Hari pertama ini juga menyaksikan sesi awal persekolahan dipantau oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti kekurangan dan menambah baik SOP dari masa ke masa.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar menasihatkan pelajar-pelajar yang terlibat dalam pembukaan semula sekolah supaya lebih bermotivasi meneruskan sesi pembelajaran.

"Jadikan hari pertama ini sebagai motivasi buat diri dalam menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh setelah sekian lama tidak dapat ke sekolah.

"Di samping itu, ingat dan patuhi SOP yang ditetapkan dengan baik. Jaga penjarakan sosial serta kebersihan diri," tulisnya melalui satu hantaran di akaun Facebook rasminya, pagi ini.

Terdahulu Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi jidin telah mengumumkan sekolah dibuka semula  membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.


Tag: