Pelumba TSG Rampas Gelaran Raja Bukit

HULU TERENGGANU, 7 September – Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berjaya merampas kembali gelaran raja bukit (jersi polkadot) saingan peringkat keempat setelah kali terakhir dimenangi olehnya pada saingan pertama.

Pada saingan pertama, beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit).

Pada saingan keempat, Aiman juga berjaya mempertahankan gelaran individu terbaik keseluruhan (jersi biru) selama empat hari pertandingan berlangsung.

Beliau yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 berjaya mencatat masa cemerlang 3:15:28 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.

Aiman berkata perjalanan perlumbaan pada hari ini sangat mencabar dengan laluan berbukit melalui tiga pendakian yang sukar.

"Saingan terhadap pelumba lain juga kuat sekali gus bagus bagi semangat dan motivasi saya dalam persediaan untuk ke Langkawi nanti.

"Di samping, saya berharap jersi biru (kategori individu terbaik) terus menjadi milik saya sehingga saingan terakhir pada hari esok," katanya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pulau Poh, Tasik Kenyir pada hari ini.

Peringkat keempat perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula daripada Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu ke Pulau Poh, Tasik Kenyir yang melibatkan laluan sepanjang 147.65 km.

Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.

Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli.

 


Tag: