Hasil Pencerobohan Nelayan Vietnam dipamerkan kepada media Di Jeti APMM Kuala Terengganu hari ini. |
KUALA TERENGGANU, 28 April - Kes Pencerobohan Nelayan Asing di Perairan Malaysia yang telah selesai di mahkamah menghasilkan denda sebanyak RM2.35 juta dan kos penahan bot sebanyak RM350 ribu sehingga akhir bulan ini.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata berdasarkan statistik operasi Maritim Terengganu dan Zon Maritim Kemaman mulai bulan Januari hingga April tahun ini, sebanyak 533 buah vessel telah diperiksa dan 32 daripadanya bersangkut kes yang membabitkan anggaran rampasan sebanyak RM32 juta.
Menurutnya, seramai 240 nelayan warga Vietnam telah dimasukkan ke lokap Maritim Negeri.
"Selain itu, kes-kes mahkamah yang selesai telah berjaya memperolehi hasil denda sebanyak RM2,349,900 dan juga kos penahanan bot sebanyak RM350 ribu," jelasnya.
Muhammad Suffi berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.
Katanya, sementara itu, pada 25 dan 26 April lalu Maritim Malaysia melalui asetnya Kapal Maritim (KM) Pekan berjaya menawan dan memberkas sebanyak enam bot bersama 63 nelayan termasuk tekong, kesemua warga Vietnam dalam satu operasi agensi tersebut.
Bot-bot berkenaan katanya, ditahan di sekitar 51 hingga 153 batu nautika dari sini.
Menurut beliau selain itu turut dirampas 1,700 kilogram (kg) ikan campur, 1,300 kg ikan baja, 80 kg sotong kering, 7 ribu liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan.
"Kesemua mempunyai nilai anggaran sebanyak RM6 juta. Kesemua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu pada awal pagi 27 April (semalam) dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.
"Dakwaan akan dibuat kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia," jelasnya.
Menurutnya dakwaan juga akan dibuat di bawah Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan huruf, nombor atau lain-lain cara pengenalan sesuatu vessel penangkapan ikan yang lain.
Mereka juga turut didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Jelasnya lagi operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanah daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.