Pendaratan Penyu Di Pantai Terengganu Meningkat

KUALA TERENGGANU, 18 November – Jumlah pendaratan penyu di sekitar pantai Terengganu didapati melonjak sebanyak 68 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut maklumat dikeluarkan Jabatan Perikanan, sejumlah 3,783 ekor penyu dikesan mendarat di negeri itu untuk bertelur meliputi 3,780 ekor jenis penyu agar dan baki tiga penyu karah.

Menerusi infografik dimuat naik agensi tersebut, perbandingan tempoh sama pada tahun lepas hanya 2,583 ekor dan tahun sebelumnya 2,573 ekor direkodkan di Terengganu.

“Antara faktor berlakunya peningkatan tersebut seperti kekurangan trafik bot pelancong ke pulau peranginan dan gangguan manusia tidak bertanggungjawab di pantai.

“Justeru, ayuh kita bersama-sama terus menjaga kebersihan pantai agar segala ekosistem hidupan marin dapat terpelihara dengan lebih baik,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Terengganu turut muncul sebagai negeri paling tinggi pendaratan penyu dari 2016 sehingga 2019 dengan merekodkan sebanyak 25,106 ekor, sebahagian besarnya dari jenis agar dan ini diikuti Melaka yang mencatatkan sejumlah 2,087 ekor untuk tempoh empat tahun tersebut selain Pahang (1,535), Johor (1,023), Perak (347), Kedah (186) dan Negeri Sembilan (113).

Terbaharu, Kerajaan Negeri turut meluluskan pindaan Enakmen Penyu 2021 bagi mengharamkan aktiviti penjualan telur bagi semua spesies penyu serta memastikan aktiviti penguatkuasaan dan pemuliharaan penyu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.