Pendidik Muda Zahirkan Aspirasi Bagi Perkasa Pendidikan Menjelang 2050
Pembabitan pendidik muda sebagai peneraju masa depan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dapat memastikan kejayaan bidang pendidikan sehingga berupaya melakukan anjakan paradigma yang menjurus kepada perubahan minda.
Pengerusi Program Transformasi Pendidik Muda : Ke Arah Gagasan TN50, Dato' Rosli Mat Hasan berkata, bidang utama bagi pembentukan pembangunan sahsiah manusia itu dapat melahirkan generasi baru khususnya murid yang berdaya saing dan mampu berdikari membangunkan negara kerana kemenjadian murid adalah satu aspirasi untuk memacu negara pada masa akan datang.
“Namun, guru muda perlu memiliki aspirasi, dedikasi dan semangat untuk memberi didikan kepada murid supaya murid yang mempunyai kemahiran menyeluruh dapat dibentuk sebagai menzahirkan sokongan untuk membina masa depan negara yang lebih gemilang serta memperkasa pendidikan pada 2050,"katanya.
Beliau berkata demikian di Program Transformasi Pendidik Muda : Ke Arah Gagasan TN50 di Dewan Aspirasi, UiTM Dungun, semalam.
Lebih 500 pendidik muda menyertai program itu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,Roslee Daud dan Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Madya Abdol Samad Nawi.
Program tersebut turut menyelitkan slot forum yang dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi GPMSNT, Izham Ahmad bersama panel, Dato' Zubir Embong, Senator Tan Sri Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah serta Dr. Mohd Borhanuddin Zakaria.
Rosli berkata, program itu julung kali diadakan bertujuan bagi mengumpulkan aspirasi di kalangan pendidik muda sebagai input berguna untuk diterjemahkan menjelang 2050 kelak yang turut mencakupi pelbagai bidang khususnya pendidikan, ekonomi dan pembangunan sahsiah.
Menurut Izham pula, GPMSNT menyambut baik program menjurus pendidikan dan berharap mampu menjadi medan terbaik bagi mengelakkan golongan berpendidikan tercicir dalam menyampaikan hasrat mahupun impian bagi merealisasikan Gagasan TN50.
Program itu dikendalikan oleh Yayasan Minda dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Terengganu (GPMSNT), UiTM Cawangan Terengganu, Politeknik dan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.