Peniaga Kedai Pakaian Lega Premis Boleh Operasi
KUALA NERUS, 15 Ogos – Pembukaan lebih banyak sektor perdagangan dan pengedaran yang berkuat kuasa pada semalam bukan sahaja melegakan peniaga bahkan orang ramai.
Seorang peniaga pakaian wanita, Husna Syahirah Rosdi, 25, berkata, dia sangat bersyukur apabila dimaklumkan kedai sepertinya boleh beroperasi setelah tiga bulan tidak dapat berniaga seperti biasa.
"Sepanjang tidak beroperasi, bayaran sewa juga perlu bayar iaitu sebanyak RM4,500. Oleh itu, saya dan rakan-rakan usahawan lain mengambil kaedah alternatif dengan menjual secara atas talian sahaja sepanjang pandemik bagi menyara diri dan kos perniagaan," katanya.
Tambahnya, sambutan pada hari pertama dibuka semalam amat memberangsangkan dengan pelanggan dalam daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berkunjung di kedainya di KTCC Mall.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika dihubungi berkata, hari ini dijangka banyak lagi sektor terlibat dibuka ekoran pengumuman tersebut, baru-baru ini.
“Dalam DUN Seberang Takir yang kita dapat kenalpasti beberapa buah kedai yang berdaftar dengan kita untuk Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 baru-baru ini,” jelasnya.