KUALA TERENGGANU, 15 Jun-  Menjelang sambutan Hari Penyu Sedunia esok, seharusnya segenap lapisan masyarakat terutama rakyat Terengganu lebih cakna dalam usaha memelihara dan memulihara spesies terancam itu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pemuliharaan penyu memerlukan penglibatan dan kecaknaan semua pihak.

"Jika tidak, dibimbangi suatu hari nanti mungkin penyu akan jadi seperti dinosaur yang hanya mampu disebut kewujudannya.

Tun Ahmad Faisal (tengah) dan isteri, bersama Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab (kiri) dan Pengarah Tourism Terengganu, Fadli Yusof Zakaria (kanan) ketika program Cakna Penyu di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, baru-baru ini.

 "Kita mahu membawa program konservasi penyu ke tahap lebih tinggi bertujuan mendidik masyarakat untuk bersama-sama dalam menjaga khazanah negeri ini.

"Kerajaan negeri, Jabatan Perikatan Malaysia (Perikanan) semata-mata tidak mampu buat segala-galanya, tanggungjawab untuk menjaga penyu mestilah sampai ke lapisan terbawah iaitu masyarakat kerana jika tidak dijaga sekarang, 20 hingga 25 tahun lagi penyu tidak akan naik mendarat, ia perlu dimulakan sekarang," tegasnya.

Menurut Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) itu, usaha bersepadu yang dijanakan semua pihak mampu mewujudkan pulangan dalam pelbagai bentuk seperti percambahan ekonomi setempat, pelancongan dan juga hasil perikanan.

"Beberapa tahun kebelakangan ini kita menyaksikan peningkatan pendaratan penyu dalam negeri, kecuali bagi Penyu Belimbing yang kali terakhir direkodkan mendarat pada tahun 2017.

"Program konservasi yang dibuat sejak 20-25 tahun lalu baru kini dapat saksikan kesannya, berdasarkan data yang diperolehi, kita melihat program yang dibuat ada kejayaannya, walaupun mungkin tidak ketara tetapi berlaku peningkatan.

Seorang 'Ranger Penyu' merekodkan data salah seekor penyu yang mendarat di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.

"Jadi, kita mahukan penglibatan pihak luar terutama melalui sokongan kewangan dan teknikal, kita berharap edupelancongan dapat memberi lebih kefahaman kepada pihak-pihak luar," jelasnya.

Beliau menambah, kekurangan program melihat penyu bertelur dibuka kepada pelancong bukan bermakna ia disorok.

"Ia masih produk pelancongan, tetapi kita menggerakkannya sebagai edupelancongan bagi melindungi habitat dan proses pemuliharaannya.

"Kita menjalankan program-program melepaskan anak penyu, mengambil sarang-sarang angkat dan kita mahukan sehingga pihak swasta dapat menaja program-program ini untuk membawa lebih banyak sokongan bagi membantu Jabatan Perikanan, Tabung Alam Sedunia (WWF) , pihak unversiti dan organisasi lain dalam memelihara khazanah penyu," tambahnya.

Berdasarkan data, kini hanya dua daripada empat spesies penyu yang didapati masih mendarat di Terengganu iaitu Penyu Agar dan Penyu Karah.

Bagi tempoh lima tahun bermula 2018 sehingga 2022, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM2 juta bagi program pengurusan penyu di Terengganu. Tahun ini, sebanyak RM600,000 diperuntukkan menerusi pelbagai program pengurusan melibatkan 52 pantai lokasi pendaratan, 45 'ranger penyu' dan pembangunan kesedaran awam.

Proses penyimpanan semula telur penyu di Pusat Konservasi Teluk Mak Nik, Kemaman.

 

 

 

 

 


Tag: