KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Permai Hotel Kuala Terengganu, baru-baru ini telah melancarkan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara #PermaiPinktober 2020. Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai 'Pink October', bertujuan untuk meningkatkan perhatian dan sokongan bagi kesedaran awal penyakit tersebut.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, sebagai tanda sokongan, Permai Hotel Kuala Terengganu mengadakan acara pemakaian ‘Pink Ribbon’ kepada pihak pengurusan dan warga kerja hotel.
“Kami turut menggalakkan pihak pengurusan untuk memakai pakaian berwarna merah jambu pada setiap hari Rabu sepanjang bulan Oktober ini sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara 2020.
"Penyakit itu adalah musuh nombor satu kepada wanita seluruh dunia. Tanpa wanita, pincanglah sebuah rumah tangga. Wanita perlu kuat melawan penyakit dengan membuat saringan awal,” ujarnya.
Meskipun berdepan dengan wabak COVID-19 gelombang ketiga, Permai Hotel bagamaimanapun menyasarkan kempen ini kepada warga kerjanya dan tetamu hotel. Masih mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP), Majlis Pelancaran #PermaiPinktober dimeriahkan lagi dengan acara pembahagian kek cawan kepada para tetamu hotel.