Pertandingan Pidato Tingkat Penggunaan Bahasa Melayu

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Bertemakan 'Pekerja Sihat, Produktiviti Hebat', Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu yang julung kali diadakan menjadi antara usaha melahirkan penjawat awam berketerampilan.

Ia termasuk dalam mengemukakan idea, pandangan mahupun mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan berkesan. 

Pada masa sama menjadi satu medium terbaik untuk memartabatkan dan meningkatkan penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam. 

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Ab. Rasid Jusoh berkata, selain dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan boleh dipraktikkan dalam sebarang urusan dengan pelanggan, ia juga dapat memupuk rasa bangga serta kecintaan dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Walaupun pidato itu secara asasnya adalah tentang mimpi atau cita-cita dan idea-idea besar, kita tidak boleh menafikan peranan dan elemen bahasa yang matang dan indah, "katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja bagi merasmikan program Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Pertandingan pidato anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Unit Korporat dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur itu berjaya menarik 17 penyertaan di kalangan penjawat awam. 

Katanya, penjawat awam khususnya harus mengangkat dan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya mencerminkan kekayaan khazanah bangsa Melayu dalam membawa kebaikan manusiawi. 

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta yang berani mencabar diri menyertai pertandingan tersebut. 

"Saya yakin dan percaya tidak ramai yang berani untuk tampil di pentas pertandingan pengucapan awam sebegini.

"Penyertaan semua peserta ini membuktikan mereka semua memiliki keyakinan, keberanian dan komitmen jitu untuk menjadi yang terunggul serta berkompentensi tinggi, " ujarnya.