• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Pertima Raih Anugerah Top 500 Trusty Brand Award 2024

KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Pertima Trengganu Sdn Bhd (PERTIMA) berjaya merangkul anugerah berprestij iaitu Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award 2024 dalam satu majlis yang berlangsung di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah tersebut merupakan inisiatif Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) untuk mengiktiraf syarikat-syarikat yang telah menunjukkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan dipercayai oleh pengguna.

Pengurus Besar PERTIMA, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan buat PERTIMA setelah 52 tahun syarikat itu berdiri di negeri Terengganu yang juga merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Pemilihan bagi anugerah ini perlu melalui penilaian dan proses audit yang sangat ketat serta rujukan  daripada pasaran, pengguna ataupun media  sosial demi memastikan kebolehpercayaan jenama dan kualitinya. 

“Apa yang paling penting, jenama PERTIMA ini akan terus berkembang seiring dengan slogan iaitu ‘Pilihan Bijak Pastinya Citarasa Lokal’,’’ujarnya.

Katanya, MTPN turut mengucapkan tahniah dan berharap agar PERTIMA akan terus berinovasi dan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna Malaysia pada masa hadapan .