Peruntukan RM2 Juta Baik Pulih Dan Bina Baru Rumah Di DUN Ajil Tahun Ini
Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi membina baru atau membaik pulih rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil sepanjang tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib berkata, pada peringkat pertama, sebanyak 10 unit rumah yang dikenal pasti untuk dibaik pulih segera menggunakan peruntukan yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Hulu Terengganu itu.
"Pejabat daerah akan mengambil inisiatif melalui tiga konsep utama iaitu bina baru bagi yang berdaftar dengan e- Kasih, baik pulih melalui kontraktor yang dilantik dan membekalkan bahan-bahan binaan yang akan dibuat secara gotong- royong bersama masyarakat setempat.
"Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri dan kolaborasi ini menjadikan masalah di DUN Ajil selesai lebih cepat buat masa ini,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Turun Padang ke Mukim Hulu Berang, Ajil, hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.
Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, berkata program turun padang ini akan diteruskan secara berkala pada setiap dua bulan sekali mengikut keperluan supaya setiap masalah di DUN berkenaan dapat selesaikan semaksima yang mungkin.
"Kita turun padang bersama ketua jabatan sambil beriadah dan melihat keperluan rakyat terutama di Mukim Hulu Berang hari ini dan hari ini kita sempat melihat dua buah rumah golongan miskin yang memerlukan kerja membaik pulih segera.
"Konsepnya kita buat kolaborasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan DUN di mana kita guna peruntukan tabung kebajikan untuk membeli dan membiayai segala keperluan...sebahagiannya pula akan disalurkan oleh JKM,"katanya lagi.
Ghazali berkata, kerjasama yang terjalin itu mampu menyelesaikan banyak masalah terutama melibatkan golongan miskin yang tiada keupayaan untuk membaiki rumah mereka sendiri.