• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

PETRONAS Tingkat Kemahiran Komuniti

KEMAMAN, 28 Jun- PETRONAS  melalui program Menyemai Masa Hadapan- Ke Arah Masyarakat Mampan, menganjurkan siri Bengkel Peningkatan Kemahiran Kitar Semula Minyak Masak Terpakai 2024. 

Pengurus Kanan, Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohd Munawir Mahdun berkata, bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PETRONAS meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap pengurusan sisa buangan yang betul.

"Di samping pendedahan kepada amalan ekonomi kitaran (circular economy), ianya juga diharap mampu meningkatkan kemahiran di dalam pengurusan sisa buangan pepejal yang sistematik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup bengkel yang disempurnakan oleh Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat di Pusat 3R, Kemaman, hari ini. 

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof.

Katanya, projek rintis impak sosial terbabit dilaksanakan dengan Kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Majlis Perbandaran Kemaman.

"Program yang berjalan selama dua bulan ini melibatkan 40 peserta terdiri daripada anggota komuniti terpilih.

"Sepanjang mengikuti bengkel, peserta dididik bagaimana menukarkan minyak masak terpakai kepada produk yang lebih berharga. 

"Ia secara tidak langsung memberi peluang menjana pendapatan kepada masyarakat disamping lebih peka terhadap kesan sisa buangan kepada alam sekitar, " ujarnya.