PKPP : Sektor IKS Kembali 'Bernafas'

Oleh : Muhammad A.Rahman

SETIU, 7 Jun - Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini akan memberikan 'nafas' baharu kepada sektor Industri Kecil Sederhana (IKS).

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, ini kerana gedung-gedung perniagaan di seluruh negara kembali dibuka seperti biasa pada 10 Jun ini setelah ditutup atau dihadkan operasi sejak beberapa bulan lalu.

"Ini akan dapat membantu pengusaha IKS kembali mencari rezeki dan secara tidak langsung menjana kembali pertumbuhan ekonomi negara.

"Saya melihat PKPP ini sebagai langkah pemulihan dari segenap aspek kehidupan rakyat Malaysia, bukan sahaja dari sudut kesihatan malahan mental juga dapat dipulihkan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan itu juga adalah langkah yang amat bijak dan wajar dipuji oleh semua pihak, baik kerajaan ataupun pembangkang.

"Saya kira semua akan bersyukur, berterima kasih kerana semua memperoleh manfaat daripada pengumuman ini," tambah beliau.

Perlaksanaan PKPP akan bermula pada 10 Jun ini adalah bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun nanti.