• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Polis Terengganu hari ini melupuskan 24 kilogram dan 1,989.27 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kesemua dadah yang dilupuskan melibatkan 2,958 kertas siasatan terbahagi kepada tujuh daerah di Terengganu dari tempoh 1991 hingga 2024.

“Pelupusan barang kes ini adalah mendapat perintah mahkamah, melibatkan kes-kes tangkapan yang mana suspek telah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

“Jumlah dadah dilupuskan dalam program ini adalah pil yaba atau pil kuda seberat 19,388.06 gram, syabu 1,173.16 gram, heroin 1,737.04 gram, ganja 343.49 gram, pil eramin 5 269.94 gram, air ketum 1636.20 liter, daun ketum 1340.34 gram, ubat batuk 353.07 liter, pil estacy 0.29 gram, pil psikotropik 54.42 gram.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu akan membuat pelupusan barang kes dadah mengikut perintah tetap Ketua Polis Negara D207.

“Barang kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar di bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar.

“Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah ‘buangan terjadual atau schedule waste (sw403), di bawah jadual pertama, peraturan-peraturan kualiti alam sekeliling 2005,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini hanya berhadapan masalah dadah jenis tradisional seperti dadah berasaskan opiate atau candu seperti heroin, morfin dan dadah jenis ganja.

Akan tetapi masa kini jelasnya, PDRM menghadapi masalah dadah jenis baru berasaskan sintetik seperti pil yaba, syabu,dan eramin 5.

“Sepanjang tahun 2024 (1 Januari-30 September), JSJN Terengganu menunjukkan prestasi begitu baik apabila berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM3.66 juta.

“Sebanyak 1,044 kes dibawah kategori (bekalan) telah berjaya dibuka, di mana 94.40 peratus kes di bawah seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) ADB 1952, telah berjaya dituduh di mahkamah sehingga 30 September 2024.

“Sepanjang tempoh tersebut, JSJN Terengganu telah mengambil tindakan ke atas seramai 844 orang di bawah seksyen 39C ADB 1952, manakala pada tahun 2023 seramai 1,029 orang telah ditangkap dan dituduh.

“Penagih-penagih tegar ini akan berada di dalam penjara dalam tempoh yang lama dan tidak akan lagi mempengaruhi remaja lain daripada terlibat dengan dadah.

“Tindakan ini dilihat lebih praktikal dari menghantar penagih tegar untuk menjalani pemulihan dadah kerana mereka boleh mempengaruhi penagih baru yang sedang menjalani pemulihan,” katanya.