Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Politeknik Dungun Terokai Kenderaan Elektrik (EV) Di China
DUNGUN, 26 Julai - Seramai 29 warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah menjalani Program Malaysia China Youth TVET Training (MYCTT) di Wuhan Technical College of Communications, China..
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata program latihan selama 12 hari yang melibatkan 25 orang pelajar dan empat orang pensyarah itu bertujuan memberikan akses kepada teknologi terkini serta pengetahuan mendalam dalam bidang yang semakin relevan dengan keperluan industri global.
"Program latihan ini merupakan program di bawah Malaysia-China Youth TVET Training (MYCTT) yang memberi penekanan kepada konsep “finishing school”.
"Ia diwujudkan bagi meneroka kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin meningkat dalam menyediakan generasi muda yang berkemahiran tinggi dan siap untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam era globalisasi kini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran media di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata peluang yang diberikan buat pelajar dan pensyarah institusi pengajian awam tersebut dalam meneroka bidang EV di China merupakan satu peluang yang berharga.
"Ini membolehkan mereka mendapatkan pengalaman langsung dalam industri yang berkembang pesat serta memperluaskan wawasan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi EV yang semakin penting di masa hadapan.
"Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat melahirkan graduan politeknik khususnya PSMZA sebagai graduan yang berkualiti di peringkat antarabangsa disamping memberi pengalaman
yang tidak ternilai dan berharga buat mereka," ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, PSMZA juga dalam usaha menubuhkan Reskilling and Upskilling Centre (RUC) dalam bidang kenderaan hybrid dan elektrik yang dijangka akan mula beroperasi September 2024 ini.
"penubuhan RUC dengan kerjasama pihak industri, iaitu Mili Tech Sdn. Bhd ini bakal
menjadikan PSMZA sebagai Pusat Kejuruteraan Automotif Elektrik dan Hibrid bertauliah yang pertama di Pantai Timur,"jelasnya lagi.