KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Kerajaan negeri sedang giat memulihkan kembali projek Ladang Kelapa Matag yang terbiar sejak 10 tahun lalu di Kampung Kubang Puyu, Langkap di Daerah Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kawasan tersebut telah diwartakan sebagai lembah kelapa dengan 35 hektar manakala baki 139 ekar masih terbiar.
“Projek Kelapa Matag ini bermula pada tahun 2011 dengan penanaman 35 hektar kelapa, memakan kos keseluruhan sehingga RM4 juta termasuk kos perparitan, infrastruktur dan lain-lain lagi.
“Sepatutnya sekarang ini adalah fasa kemuncak pengeluaran hasil.
“Bila Kerajaan PAS memegang tampuk pemerintahan pada 2018, ladang ini yang pertama saya lawati dan sekarang berada didalam senarai projek-projek yang sedang dipulihkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya, keadaan semasa kawasan tersebut pada tiga tahun lepas ditumbuhi semak-samun serta sebahagian pokok-pokok terbantut tumbesaran manakala sebahagian telah mati.
Mengulas lanjut isu-isu yang timbul, Dr Azman berkata, isu pertama yang perlu diselesaikan ialah status pewartaan tanah di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai kawasan tanaman kelapa dibawah jagaan Pengarah Pertanian Terengganu.
“Isu seterusnya adalah sistem perparitan yang perlu diberi perhatian yang mana merupakan kawasan banjir termenung, jadinya kita perlu memastikan sistem pengairan yang ada boleh menangani isu ini," katanya.
Rawatan kesuburan tanah dan pembajaan antara aspek penting yang yang telah diambil tindakan pemulihan.
Jelasnya, lembah kelapa tersebut berpotensi menjadi ladang terbesar dalam negeri dengan keluasan lebih 300 ekar, menghasilkan kelapa muda, air nira dan industri santan.
Sementara itu, beliau menjangkakan pengeluaran sepenuhnya akan bermula dalam masa setahun lagi untuk keperluan pasaran dalam negeri dahulu.
"Saya tak pernah gunakan istilah projek gagal kerana kegagalan itu hanya berlaku bila kita mengalah, tutup buku dan tak bekerja lagi. Selagi kita mampu bangun berjuang, kita sebenarnya belum gagal.
"Sejak lebih setahun yang lalu proses pemulihan ladang bermula setelah diselesaikan isu-isu pewartaan tanah. Hasilnya boleh dilihat dari gambar-gambar yang berbicara," katanya lagi.