Oleh : Ezzuan Ahmad
Nasib lebih 54,000 nelayan dan 300,000 pesawah di seluruh negara akan terus diperjuangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat menerajui kerajaan pada pilihan raya kali ini.
Menterinya, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kebajikan golongan tersebut perlu diberi perhatian kerana tergolong antara penyumbang kepada industri makanan negara.
"Saya membayangkan elaun sara hidup untuk nelayan dan pesawah akan dinaikkan selepas ini sebagai menghargai sokongan golongan itu terhadap BN " katanya.
"Bila diutarakan tentang nasib pesawah dan nelayan kepada perdana menteri saya lihat perasaan kasihan beliau yang sangat mendalam terhadap golongan ini " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta penyampaian bantuan 'touch point' kepada nelayan Dungun, di Pasar Besar Dungun, hari ini.
Turut hadir, calon BN Parlimen Dungun, Datuk Din Adam; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Datuk Zainun Abu Bakar dan calon BN DUN Rantau Abang, Wan Zaulkifli Wan Gati.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata beliau terpaksa memberitahu golongan nelayan bahawa ada risiko yang besar sekiranya mereka memilih pakatan pembangkang yang diketuai Tun Mahathir Mohammad pada pilihan raya umum kali ini.
"Pada zaman dia memerintah, tiada bantuan khusus diberikan kepada golongan tersebut dan sekiranya pakatan memerintah, nasib golongan ini tidak akan dibela" katanya.
Katanya lagi, kebimbangan itu disuarakan beliau kerana Pakatan Harapan (PH) di dalam manifestonya mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi pada masa yang sama hendak memberi perkhidmatan secara percuma kepada rakyat.
"Mereka (PH) hendak beri tol percuma, PTPTN percuma, jadi ada kemungkinan elaun sara hidup untuk golongan ini akan dikurangkan atau ditarik balik untuk digunakan bagi projek-projek kerajaan yang lain," katanya.