Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Oleh : Ezzuan Ahmad
Pembangunan fizikal dan program kebajikan rakyat yang dikecapi oleh penduduk di Paka pada masa kini dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya hasil usaha pembangkang.
Calon bagi kerusi N28 DUN Paka, Tengku Hamzah Tengku Deraman berkata, nikmat pembangunan dan pelbagai bantuan yang dirasai penduduk di kawasan Paka adalah hasil usaha Kerajaan negeri selain kesepakatan dengan Kerajaan Pusat.
"Pembangkang (Pas) selalu menyatakan mereka juga telah membawa pembangunan di kawasan ini namun hakikatnya tidak dan hanya kami (BN) yang membawa pembangunan di sini," katanya.
Menurutnya, Pas melalui wakil rakyat mereka yang juga penyandang ADUN Paka, Satipul Bahari Mamat sering berbangga dengan pusat tahfiz yang diwujudkan di kawasan tersebut namun semua sudah sedia maklum pembinaan tersebut adalah hasil dari sumbangan ahli-ahlinya sendiri.
Tambahnya, apabila melibatkan mengenai kebajikan rakyat, Pas mendakwa kerajaan bertindak kejam kerana tiada sebarang peruntukan yang diagihkan kepada mereka.
"Jika buat tahfiz ada peruntukan tetapi kenapa bila melibatkan pembangunan mereka (Pas) menyatakan bahawa kerajaan tidak memberi sebarang peruntukan.
"Sepatutnya mereka ada sumber kewangan sendiri melalui parti yang diwakili mereka dan bukan meyalahkan kerajaan, jika buat tahfiz ada pula peruntukan kenapa bila nak buat pembangunan tiada peruntukan?" katanya.
Katanya, rakyat harus sedar apabila Pas mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada 1999 di mana perkara pertama yang dibuat ialah menghalang dan menghalau pelajar tadika dari menggunakan bangunan mereka untuk belajar.
"Mereka (Pas) selalu mendabik dada mengatakan bahawa mereka cakna akan pendidikan namun apa yang dibuat kepada pelajar tadika pada tahun itu menunjukkan sebaliknya.
"Saya ingat lagi bagaimana kanak-kanak menangis kerana dihalau di tempat mereka menimba ilmu, saya ingat lagi bagaimana mereka terpaksa menumpang di bangunan-bangunan dan kedai untuk menimba ilmu, mereka hanya kanak-kanak, apa yang Pas fikirkan masa itu? Hanya kepentingan politik sahaja,"katanya.
Tengku Hamzah berkata, Pas hanya pandai menabur janji kosong sahaja dan hanya berbangga dengan kemajuan yang dibawa oleh BN.
"Semua yang ada ini adalah hasil dari kerajaan dan wakil rakyat yang dilantik (Pas) tidak berbuat apa-apa dan hanya menabur fitnah berkenaan kerajaan. BN sahaja yang menjaga kebajikan dan membuat pembangunan di Paka ini.
"Adakah BN tidak memperjuangkan islam sepertimana yang didakwa mereka?Kerajaan juga memperjuangkan agama islam namun cara dan perbuatan mereka (Pas) yang sebenarnya yang tidak mengikut Islam dan ianya boleh diibaratkan seperti 'sibuk mencari dosa orang tetapi dosa-dosa sendiri belum tentu kelihatan dan terhapus'," katanya.
Menurutnya lagi, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, Pas tidak seharusnya membuat fitnah dan hanya tahu menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka.