Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
Hari terakhir berkempen memperlihatkan semua calon parti yang bertanding menggunakan peluang untuk bertemu dengan pengundi bagi menerangkan manifesto dan pelbagai perancangan yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bagi calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi N28, Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Tengku Hamzah Tengku Deraman, juga tidak mensia-siakan peluang saat akhir ini untuk bertemu dengan penduduk di kawasan Felda Kerteh serta menemui golongan nelayan dan memberikan bantuan kepada pesakit yang memerlukan.
Menurut Tengku Hamzah, peluang terakhir ini digunakan untuk bertemu untuk menerangkan berkenaan dasar kerajaan serta manifesto yang disusun untuk kesejahteraan rakyat.
"Kita (BN) telah pergi ke semua pelusuk kawasan di dalam Paka ini sejak dari awal lagi untuk menghulurkan bantuan serta memberi penerangan kenapa perlu mengekalkan kerajaan yang sedia ada ini untuk kesejahteraan mereka," katanya.
Menurut Tengku Hamzah, sepanjang tempoh berkempen, banyak permasalahan yang telah diutarakan oleh penduduk kepadanya kerana wakil rakyat dari pihak pembangkang (Pas) tidak pernah mengambil cakna berkenaan permasalahan mereka.
Tambahnya, pada lawatannya juga turut menyumbangkan keperluan barangan keperluan seperti makanan dan bantuan kerusi roda kepada pesakit yang memerlukan.
"Kita turut memberikan penerangan kepada penduduk berkenaan kemajuan yang telah dibawa oleh pihak kerajaan (BN) dan adalah satu kerugian besar sekiranya tidak mempertahankan apa yang sudah diperolehi mereka" katanya.
Kata beliau, pada siri lawatannya sepanjang tempoh berkempen, beliau juga melihat sokongan dan keyakinan rakyat terhadap BN telah meningkat kerana mereka sudah melihat sendiri kemajuan dan kesejahteraan yang telah di bawa sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara.
"Penduduk mula sedar bahawa kemajuan yang dikecapi selama ini datangnya dari sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dalam membawa agenda pembangunan demi kesejahteraan anak cucu mereka pada masa hadapan," katanya.
Justeru itu dia berharap supaya pengundi dapat memilih kerajaan yang sedia ada untuk dikekalkan supaya lebih banyak bantuan dan pembangunan dapat dilaksanakan di negara ini .