PRU14 : Prestasi Terbaik Calon Wanita

Ahmad Razif meninjau tugasan pengamal media di Pusat Media PRU14, di Hotel Permai. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Prestasi calon wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura dan Bukit Payung, memberangsangkan seterusnya mencerahkan peluang BN merampas dua DUN milik pembangkang itu, kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ketua Wanita Dungun dan Marang, Datuk Zainun dan To' Puan Zaiton dikatakan begitu cemerlang mengetuai kempen masing-masing dan wajar diberikan pujian kerana berkemampuan serta begitu wibawa dalam gerak kerja mendekati pengundi.

Ahmad Razif berkata, beliau sendiri sangat terkejut dengan perkembangan yang berlaku di dua DUN yang diwakili calon wanita itu sebaik sahaja kempen bermula selepas penamaan calon Sabtu lalu, sekali gus memberi gambaran yang sangat baik dan wajar menjadi contoh kepada semua calon BN yang bertanding.

“Pada peringkat awal kita berasa sukar untuk menang di kawasan Sura, namun akhir-akhir ini kita lihat prestasi di Sura lebih baik dari DUN lain. Dua calon wanita ini insyaAllah akan menang.

“Malah, calon-calon baru yang lain juga tiada masalah untuk memenangi pilihan raya kerana penerimaan rakyat sangat baik,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media PRU14, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.


Ahmad Razif juga berkeyakinan dengan prestasi calon baru termasuk Dr Tengku Asmadi Mohamad (Parlimen Kuala Nerus) dan  Dato' Wan Nawawi Wan Ismail (Parlimen Kuala Terengganu) untuk merampas semula dua parlimen itu daripada pembangkang.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua calon dan jentera parti supaya tidak terlalu selesa dan `over confident’ tetapi terus bekerja dengan gigih untuk memastikan 9 Mei ini BN akan memperolehi keputusan terbaik.


Tag: