KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Seramai 50 orang golongan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan asas dalam usaha berterusan kerajaan negeri memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, bantuan itu bukan sekadar memenuhi keperluan harian tetapi juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini.

"Alhamdulillah, seramai 50 orang OKU menerima bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan dapur.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak terpinggir dan terus mendapat sokongan sewajarnya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Bual Bicara Peranan Wanita Kepada OKU di Perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, pada semalam.

Zuraida turut memperakui bahawa kewujudan golongan OKU adalah sebahagian daripada kekuasaan Allah sebagai ujian dan anugerah kepada manusia. 

Malah, menurutnya, Mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyifatkan OKU sebagai 'golongan pelindung umat' menjadi perisai daripada azab Allah akibat maksiat yang dilakukan manusia lain. 

Dalam usaha memperkasa kehidupan OKU, kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Tindakan Orang OKU negeri Terengganu (MTOT) yang dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan, pakar perubatan, akademik serta pihak berkaitan.

Menurut Zuraida, MTOT berperanan menyelia pelaksanaan dasar negara dan negeri dan memantau aktiviti jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan pelan tindakan kebajikan OKU dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita sedar golongan OKU memerlukan perkhidmatan istimewa yang membolehkan mereka hidup berdikari. 

"Orang cacat penglihatan perlu kepada kemahiran membaca dan menulis braille sebelum mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk mereka berdikari.

"Serta cacat pendengaran mereka perlukan kemahiran untuk memahami dan menggunakan bahasa isyarat sebelum boleh menggunakannya berinteraksi dengan orang lain," ujarnya.

Tambah beliau, komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib golongan ini akan terus diperkukuhkan dengan dua agenda utama, iaitu memastikan sokongan yang mencukupi kepada OKU serta mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

"Pertama kita menengahkan orang kurang upaya ini kepada masyarakat dengan dicukupkan sistem sokongan yang semampu dan sewajarnya.

"Kedua mendorong dan mendidik masyarakat umum untuk menerima keberadaan orang kurang upaya tanpa sebarang halangan," katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri amat cakna dan komited dalam memastikan kebajikan golongan OKU terus terjamin. 

"Kami mahu mereka menjalani kehidupan sejahtera serta mampu berdikari seperti individu lain," katanya.

Ujar Zuraida lagi, inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk OKU, mendapat hak dan peluang yang sama dalam arus pembangunan negeri.


Tag: