'YB Bersamamu Di Aidilfitri' Rai 163 Anak Yatim

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Seramai 163 anak yatim dan golongan asnaf menerima kelengkapan aidilfitri sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi program tahunan 'YB Bersamamu Di Aidilfitri' yang diadakan di Mydin Mall, di sini.

Program berkenaan diadakan setiap kali Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan agar mereka dapat menyambut Syawal dengan lebih ceria.

Bagi memastikan kelancaran program, tiga buah bas telah disediakan untuk membawa para penerima ke pusat membeli-belah tersebut.

Wan Sukairi berkata, beliau dan isteri, To’ Puan Dr. Fadzilah Ismail turut menaiki bas bersama para peserta yang berkumpul di KP Perdana bagi merasai sendiri pengalaman serta kegembiraan bersama anak-anak tersebut.

“Program ini bukan sekadar memberikan bantuan kewangan dalam bentuk kelengkapan pakaian raya, tetapi juga memberi kegembiraan kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut hari raya,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut, semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa program ini merupakan tradisi tahunan dalam usaha menggembirakan para penerima agar mereka turut merasai kemeriahan Syawal dengan kelengkapan pakaian baharu.

“Tergambar kegembiraan di wajah para penerima serta ibu bapa mereka. Ada dalam kalangan ibu bapa yang hadir juga disini untuk menemani dan membantu anak-anak mereka membuat pilihan pakaian,” tambahnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu berkata, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan penerima tetapi juga mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap rakyat serta menyuburkan semangat kasih sayang dan kebersamaan dalam menyambut Syawal.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dalam menjayakan inisiatif ini, termasuk pasukan Kebajikan DUN Wakaf Mempelam yang mengelolakan program berkenaan.

Salah seorang ibu penerima, Siti Nurhidayati Addnan, 33, dari Kampung Merbau Patah, menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaannya untuk persiapan hari raya.

“Saya mempunyai empat orang anak, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka sudah mendapat baju raya. Saya tidak perlu terlalu risau untuk belanja keperluan anak yang lain. Anak saya pun sangat teruja kerana dapat datang ke sini dan menerima pakaian raya. Terima kasih kepada YB kerana membantu,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penerima memilih pakaian seperti baju Melayu, baju kurung, tudung, kurta, sampin, jubah, kasut, dan kemeja bagi melengkapkan persiapan hari raya mereka.


Tag: