SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
HULU TERENGGANU, 19 November - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada hari ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi itu menewaskan pencabar terdekatnya dari Barisan Nasional (BN), Dato Rozi Mamat, calon Pejuang Tanah Air (Pejuang), Khadri Abdullah dan Cikgu Alias Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti besar 15,734 undi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu memperoleh undi sebanyak 42,910 meninggalkan saingan terdekatnya Dato Rozi Mamat (BN) yang memperolehi 27,176 undi.
Calon PH, Alias Ismail pula memperoleh 1,740 undi manakala Mohd Khadri Abdullah yang bertanding mewakili Parti Pejuang mendapat 182 undi.
Kemenangan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Terengganu, Adnan Abdullah di pusat penjumlahan undi, Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu pada jam 11.10
malam.
Rosol yang dilahirkan pada 10 Julai 1964, pernah menyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil dalam Parlimen Hulu Terengganu pada tahun 1999 hingga 2013.
Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memperoleh sebanyak 30,925 undi menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan calon PKR, Datuk Razali Idris (3.374 undi).
Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 dan bertanding atas tiket PN bagi PRU15.