Foto Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 5 Julai - Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) terus mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Pusat Pengumpulan Hasil Tani, atau Distribution Center (D.C) miliknya sebagai Pasar Borong Setiu bermula awal Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bangunan D.C yang terletak di Kampung Telaga Papan, dibina pada asalnya untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan penggredan hasil tani sebelum dipasarkan kepada pemborong.
Katanya, setelah tidak beroperasi secara aktif bermula 2018, D.C kembali memainkan peranan penting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.
“Ketika itu, D.C mula berperanan sebagai pusat penerimaan hasil lambakan daripada petani untuk membantu mereka memasarkan hasil pertanian terutamanya tembikai kerana Kampung Telaga Papan adalah pengeluar utama tembikal di Negeri Terengganu.
“Di D.C TADC inilah tembikai dikumpulkan sebelum diagihkan kepada kira-kira 40 outlet jualannya di seluruh negeri dalam tempoh PKP dan alhamdulillah usaha tersebut terbukti berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pasar Borong Dan Runcit Telaga Papan, Setiu Dan Pengagihan kiosk Kepada Peserta Pembangunan Desa di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman serta Pengurus Besar TADC, Azhar@Wahab Jusoh.
Menurut beliau, setakat ini seramai 18 peniaga borong dan 20 peruncit menjalankan urus niaga di pusat borong itu dan jumlah tersebut boleh dipertingkatkan lagi dengan adanya pelbagai kemudahan termasuk kapasiti keluasan premis yang mencukupi, tiada kesesakan trafik di kawasan terbabit dan sebagainya.
“Justeru, saya menyeru dan mengajak semua peniaga, pemborong, peruncit manfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada di pasar borong ini sebagai satu medan interaksi perniagaan.
“Kebetulan daerah Setiu sendiri tiada lagi pasar borong seperti ini, memang selayaknya kawasan ini dihidupkan dengan pasar borong dan runcit.
“Diharapkan D.C TADC akan berjaya menjadi satu lagi pemain dalam industri pemasaran hasil pertanian, perikanan dan penternakan yang memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya,” ujarnya.
Katanya, matlamat TADC bukanlah meraih keuntungan semata, tetapi lebih kepada menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
“Apabila TADC berperanan sebagai orang tengah dan tidak mengambil margin keuntungan yang terlalu tinggi, jadi pengeluar sama ada petani penternak ataupun mereka yang terlibat dengan industri akuakultur dapat memasarkan barangan dengan harga yang berpatutan dan dalam masa yang sama penguna dapat membelinya dengan harga yang lebih rendah disebabkan peranan orang tengah berjaya diminimakan.
“Untuk memastikan kelangsungan pasar borong ini terus beroperasi, pihak pengurusan TADC akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi dibawah portfolio jawatankuasa pertanian negeri untuk menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.