Oleh : Suriati Ali
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Surau Buluh yang akan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan Buluh akan dibina dalam tempoh terdekat di Dataran Tembesu, Kuala Nerus.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pusat bernilai RM400,000 itu menjadi rujukan pengkaji dan penyelidik termasuk Lembaga Perinsustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Katanya, ia akan mengguna pakai manual aplikasi buluh dalam industri pembinaan yang terbaharu.
"Manual ini akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membina bangunan menggunakan buluh sebagai struktur utama.
"Penggunaan buluh dalam industri tradisional juga perlu ditranformasikan termasuk menghasilkan papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan pelbagai produk biomas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) diantara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.
MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.
Majlis bersejarah berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, langkah itu secara tidak langsung berupaya menjadikan Dataran Tembesu sebagai pusat pelancongan dengan adanya surau dan pusat penyelidikan yang diperbuat daripada buluh.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membangunkan projek ‘Model Ladang Hutan Buluh’ di Terengganu.
"Pelaksanaan projek ini adalah selama lima tahun dan diharapkan projek tersebut akan menjadi panduan kepada pemain-pemain industri yang lain untuk menceburi bidang perladangan dan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh," katanya.